Warisan Budaya: Tarian Reyog cerminan tradisi seni Ponorogo

Thursday, December 16, 2010

Budaya mencerminkan bangsa. Seni tradisi membentuk jati diri. Itulah yang mencerminkan identiti dan rupa masyarakat Jawa Ponorogo di negara ini bagi membezakan mereka dengan etnik lain. Selain bahasa yang nyata jauh berbeza, kepelbagaian budaya turut mewarnai keunikan masyarakat ini yang kebanyakan ada di Batu Pahat, Muar dan sekitar Selangor.

Meskipun mereka mengakui hakikat semua seni budaya yang diamalkan masyarakat ini berakar dari Pulau Jawa, Indonesia, namun mereka tegas menafikan berlaku peniruan budaya seperti didakwa segelintir pihak di republik itu.

Bagi mereka, apa yang diamal masyarakat dari Jawa Timur ini ialah kesinambungan budaya nenek moyang yang dibawa sejak mereka berhijrah ke negara ini. Hakikatnya, asal usul mereka memang dari sana. Justeru, tidak dapat tidak, budaya mereka dengan masyarakat Jawa Indonesia pastinya sama.

Malah, hampir semua watak dan elemen dalam seni budaya masyarakat Jawa Ponorogo boleh dikatakan seratus peratus sama dengan Indonesia. Cuma untuk membezakannya, mereka cuba mencipta sedikit kelainan dari segi pakaian dan rentak gerak tari untuk diadun dalam rumpun masyarakat Malaysia.

Jika di Indonesia, ada pesta Reyog yang diadakan setiap kali Awal Muharam, ia tidak diamalkan di sini. Semua elemen budaya yang ada dalam pesta itu aktif digerakkan pada hampir semua kampung Jawa Ponorogo di Batu Pahat, terutama di Parit Baru dan Parit Bingan.

Mereka juga ada permainan, tarian kuda kepang dan gamelan. Malah, mereka tahu bagaimana menggayakan watak Warok, satu karakter pahlawan masyarakat Jawa Ponorogo di Jawa Timur yang diangkat sebagai pejuang hebat mereka ketika zaman pemerintahan kerajaan Majapahit.

Jurulatih budaya di Parit Bingan, Mohamad Marji, 56, berkata dalam pesta Reyog di Jawa Timur, ada tiga elemen yang dipersembahkan iaitu barongan, pentol (watak pahlawan) dan kuda kepang diiringi paluan gendang dalam tiga versi irama iaitu kebogiro, ponoragan dan sampak.

"Kebogiro biasanya menjadi muzik pemula untuk menarik perhatian orang ramai bahawa suatu persembahan itu bakal dimulakan. Ia menandakan pesta Reyog akan bermula. Ponoragan pula adalah muzik utama yang mengiringi rentak tarian kuda kepang dan pentol, manakala sampak pula pengiring aksi peperangan membabitkan watak Singo Barong (kepala harimau dalam barongan).

"Semua itu sebenarnya ada juga di sini (Malaysia). Ia diteruskan tanpa ada sebarang perubahan dalam paluan muzik dan iramanya. Ia menunjukkan masyarakat Jawa Ponorogo di negara ini bukan sekadar membawa masuk tarian, malah muziknya sekali. Alat gamelan seperti gendang, gong, tipung, angklung dan kenong juga sama seperti di Indonesia.

"Sebelum tarian atau persembahan wayang kulit dimulakan, biasanya ada persembahan nyanyian lagu Jawa. Lagunya bebas tetapi selalunya kami membawa lagu tertentu seperti Cicak Rowo, Caping Gunung, Bakul Lemper dan Perahu Layar," katanya sambil menyanyikan serangkap lagu yang langsung tidak difahami.

Sebagai permulaan sesebuah persembahan, tarian kuda kepang dimulakan. Penarinya mengikut rentak gendang seperti yang sudah diajar jurulatih. Ia persembahan tarian biasa, bukan seperti kuda kepang yang dimasukkan elemen pemujaan dan rasukan. Tarian ini sebenarnya penuh kelembutan dan penarinya wanita.

Difahamkan, dulu penari kuda kepang adalah lelaki dipakaikan pakaian wanita, tetapi disebabkan kini lebih mudah untuk mendapat penari wanita, watak itu sudah diberi kepada mereka, sekali gus lebih menyerlahkan kelembutan tarian itu sendiri.

"Biasanya kuda kepang ditarikan empat gadis. Jumlah sebanyak itu juga bukan sekadar diadakan, tetapi berdasarkan cerita sejarah atau legenda yang dikaitkan dengan masyarakat itu satu ketika dulu.

"Cerita asalnya membabitkan pertembungan dua negeri, iaitu Jawa Timur dan Jawa Tengah. Pada awalnya, ada 144 tentera berkuda dari Puteri Kediri yang dipimpin seorang puteri, Samidah Songgolangit. Puteri itu mempunyai ramai murid dalam ilmu kepahlawanan.

"Masalahnya, setiap kali mereka mengadakan latihan, akan ada gangguan Singa Barong yang dikatakan singa jadian yang garang, jahat dan tiada siapapun dapat menandingi kehebatannya.

"Kerana tidak tahan lagi diganggu, Puteri Samidah mengerahkan semua 144 tentera berkuda menyerang Singa Barong itu, tetapi tewas sehingga tinggal hanya empat orang tentera. Semua 144 tentera itu sebenarnya khunsa, sekali gus menjelaskan mengapa dulu watak penari kuda kepang adalah lelaki berpakaian wanita.

"Empat tentera berkuda itu sempat menyelamatkan diri dan pulang menemui Puteri Samidah. Baginda masih tidak berpuas hati lantas menghebahkan kepada umum ada singa jahat di Hutan Roban yang masih ada di Indonesia," cerita Mohamad Marji.

Ceritanya lagi, berita itu sampai ke telinga dua pemuda di Ponorogo, iaitu Bujang Ganong dan Kelono Siwandono yang berpakat untuk cuba menewaskan Singa Barong. Bujang Ganong hebat dengan ilmu belut putih, manakala rakannya mempunyai senjata dikenali sebagai pecut saman diman.

Ilmu Bujang membolehkan mereka sampai ke lokasi melalui laluan bawah tanah yang dibuat cepat, manakala pecut saman diman adalah satu cemeti yang sangat ajaib.

Pertempuran itu membawa kemenangan kepada dua pemuda ini yang dapat memenggal kepala Singa Barong. Kepalanya dihias dengan bulu merak untuk dipersembahkan kepada Puteri Samidah. Bujang Ganong dapat berkahwin dengan puteri itu, tetapi selepas 100 hari berkahwin, dia tidak dapat tidur bersama kerana rupa-rupanya puteri itu khunsa.

Oleh kerana itulah Kelono Siwandono mencipta tarian Reyog menggabungkan pelbagai watak termasuk Singa Barong (barongan), kuda kepang dan pentol (watak hero) sebagai hiburan mengubati kesedihan rakannya.

Selain semua kebudayaan tadi, masyarakat Jawa Ponorogo juga aktif dalam seni mempertahankan diri dengan menggerakkan Silat Cimande, sejenis ilmu persilatan yang dikatakan dibawa masuk dari Indonesia.

Sebar dakwah melalui wayang kulit

WAYANG kulit dalam masyarakat Jawa Ponorogo sebenarnya bukan sekadar hiburan. Ia berkait rapat sebagai agen penyebar dakwah masyarakat itu yang digerakkan secara aktif sejak zaman pendakwahan Wali Songo, Sunan Kalijaga.

Orang Jawa dulu memang gemar hiburan dan kebetulannya pengaruh Hindu begitu kuat ketika itu. Wayang kulit sendiri mempunyai dua versi cerita, iaitu Ramayana dan Mahabratta kedua-duanya mempunyai elemen watak Hindu yang begitu kuat.

Pengamal wayang kulit yang juga Tok Dalang di Parit Baru, Misrin Misman, 61, berkata wayang kulit di Jawa memang dibawa dari India. Di Jawa Timur, cerita Mahabratta dijadikan asas cerita wayang kulit.

"Cuma pengisian dalam cerita wayang kulit itu diubah dan diolah menggunakan watak Pendawa Lima (pendakwah) yang bertindak sebagai penyampai mesej dakwah dalam skrip wayang kulit. Pendawa Lima ini sebenarnya lima beradik dari negeri Ngestina iaitu Punto Dewa, Proto Seno, Arjuno, Nangkulo dan Sedewa.

"Cerita dalam wayang kulit ada berkait rapat dengan cerita dari Ngestina membabitkan pertelingkahan antara dua beradik, Pandu dan Desto Rasto. Kematian Pandu mencetuskan konflik baru di mana berlaku pula perang Brata Yuda (berebut takhta) kerana tidak diwarisi lima beradik tadi.

"Ia adalah cerita asal dari India, tetapi apabila apabila sampai ke zaman Sunan Kalijaga, ia dimasukkan elemen Islam. Malah, pembawa cerita dari India juga sudah diIslamkan. Diceritakan dalam wayang kulit, kehebatan Pendawa Lima menggunakan Azimat Kalimah Syahadah," ceritanya ketika bersama penulis menonton persembahan wayang kulit dalam satu majlis perkahwinan.

Malah, diceritakan, Sunan Kalijaga sendiri bertindak sebagai dalang yang membawa cerita wayang kulit dalam versi dakwah. Penggunaan bentuk patung wayang kulit yang sebelumnya menyerupai orang sebenar ditukar kepada satu bentuk abstrak dengan hidung panjang dan tidak lagi sama seperti manusia.

Tindakan itu dibuat supaya wayang kulit tidak diharamkan sebagai satu persembahan. Penggunaan warna juga memainkan peranan sebagai gambaran watak. Jika watak jahat, ia diwarnakan merah.

Dalam wayang kulit, selain lima watak utama tadi sebagai hero, mereka berdepan dengan seorang raja jahat, Kurawa yang dibantu orang kanannya, Patih Sangguni.

Watak lain yang turut membantu raja itu ialah Degawan Durno sebagai pawang serta beberapa perajurit seperti Dursosono, Kerto Marmo dan Durmo Gati.

Ketika menonton persembahan wayang kulit pada majlis perkahwinan itu, jelas ia banyak menyuntik unsur dakwah dalam skripnya, termasuk memulakan persembahan dengan puji-pujian kepada Allah, tuhan semesta alam. Ayat suci al-Quran banyak digunakan, termasuk menyeru supaya penonton takutkan Allah.

Namun, disebabkan bahasa Jawa Ponorogo halus banyak digunakan dalam persembahan, kebanyakan penonton hanya mampu terdiam menghayati irama gendang dan intonasi Tok Dalang yang kadangkala mengubah bahasa ke bahasa Melayu. Apa yang pasti, banyak jenaka dalam skripnya kerana ramai orang tua yang faham bahasa halus lebih kerap tertawa. - Bersambung

Oleh Azrul Affandi Sobry

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI