Aishah sudah berkahwin kali ke-3

Friday, October 08, 2010

Kalau bukan kerana tindakannya meletakkan gambar suami di laman sosial Facebook, pasti tidak ramai yang tahu bahawa penyanyi bersuara lunak ini sudah berumah tangga untuk kali ketiga. Tertanya-tanya juga, bilakah tarikh sebenar pernikahan penyanyi ini kerana si empunya diri begitu keberatan untuk berkongsi cerita hari bahagianya.



Sewaktu penyanyi terkenal, Wan Aishah Wan Ariffin atau Aishah menjayakan persembahan sambutan Hari Ibu bersama Jamal Abdillah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Mei lalu, Aishah ada menyatakan yang hatinya kini sudah diisi seseorang.

Bagaimanapun, dia tidak mahu menjelaskan secara terperinci mengenai lelaki terbabit dan meminta supaya media bersabar dan menanti pengumuman selanjutnya. Pun begitu, belum sempat dia berbuat demikian, heboh di internet bahawa Aishah sebenarnya sudah berkahwin, lebih awal daripada yang disangkakan.

Penyebaran gambar seorang lelaki yang mesra di sisi Aishah menguatkan lagi dakwaan bahawa penyanyi ini berkahwin secara rahsia di sempadan. Mengapa perlu disorok perkara baik seperti ini? Atau adakah hubungan mereka sebenarnya mendapat tentangan sehingga terpaksa bernikah secara senyap-senyap?

Pertemuan dengan penyanyi ini ketika dia melancarkan album terbarunya berjudul Anak yang berlangsung di pejabat Nasyeed.com, Shah Alam, pagi Sabtu lalu, meleraikan segala kekusutan serta tanda tanya yang timbul gara-gara pernikahan rahsia itu.

Aishah, yang ditemani suaminya Faizal Sazali Zulkifli ketika itu menjelaskan, ada sebab tertentu mengapa mereka terpaksa berkahwin di sempadan dan perkara itu tiada kaitan dengan tuduhan menjadi isteri kedua ataupun perampas suami orang seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini.

Hip: Mengapa Aishah dan suami menyorokkan perkahwinan ini?

Kami tidak pernah menyembunyikan perkahwinan kami. Cuma kami memilih untuk tidak menghebahkan perkahwinan ini kerana kami mahu bersikap low profile. Kami tak suka perkara seperti ini menjadi tajuk utama media. Biarlah kami berdua menjalani kehidupan peribadi tanpa sebarang gangguan. Tak mahulah perkara seperti ini menambahkan tekanan dalam diri kami. Lagipun tiada siapa yang bertanyakan hal ini pada kami. Takkanlah kami nak bercerita sana sini yang kami sudah berkahwin. Bagaimanapun, ahli keluarga dan juga sesetengah teman rapat tahu yang kami sudah berumah tangga. Pada awalnya, kami memang bercadang mengadakan majlis dan menjemput media. Tapi apabila mengenangkan yang kami mahu mengadakan secara kecil-kecilan dan tidak mungkin dapat menjemput ramai pihak, jadi kami memutuskan untuk tidak mengadakannya. Bukannya apa, kami tidak mahu nanti ada pihak yang berkecil hati kerana tidak mendapat jemputan. Jadi untuk mengelakkan perkara itu terjadi, kami batalkan saja hasrat untuk mengadakan majlis. Kami tidak mahu merumitkan keadaan. Apa yang penting, majlis pernikahan itu sendiri.

Hip: Kalau tak sembunyi, mengapa pernikahan itu dilakukan di Narathiwat, Thailand?

Kami bernikah di Thailand kerana waktu itu suami saya belum mendapat surat cerai. Untuk mendapatkan surat cerai bukannya mudah. Terlalu banyak proses dan terpaksa menunggu untuk satu tempoh yang agak lama. Memandangkan kami mahu bernikah awal kerana tidak mahu menimbulkan sebarang fitnah, jika asyik dilihat sentiasa berdua ke mana saja kami pergi. Suami saya banyak menemani saya. Pernikahan di Thailand itu pun tiada kena mengena dengan soal poligami. Bukan niat kami nak lari dari sesiapa pun. Kami bernikah pada 30 April lalu.

Hip: Sebelum ini, apabila ditanya soal jodoh, Aishah hanya mengaku yang Aishah sedang berkawan dengan seseorang sedangkan hakikatnya lelaki itu sudah menjadi suami. Tidakkah itu menipu namanya?

Saya akui pada masa saya mengatakan hal itu, saya tersilap percaturan sebenarnya. Mulanya apabila saya mengatakan yang saya sedang berkawan dengan seseorang, perkara itu akan senyap begitu saja. Tak sangka pula media begitu berminat untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut. Saya cuba mencari masa yang sesuai untuk menjelaskan perkara itu tetapi nampaknya ia terlebih dulu heboh di internet.

Hip: Ada yang mendakwa Aishah menjadi punca perceraian Faizal dengan bekas isteri. Komen sikit?

Perceraian suami itu tiada kena mengena dengan saya. Kami berkenalan ketika dia sememangnya hendak buat permohonan cerai. Kami berkenalan menerusi laman sembang www.muslimah.com. Dari situ kami mengenali antara satu sama lain dengan lebih dekat. Saya memilih Faizal kerana saya mahukan seseorang yang boleh membimbing saya dan anak-anak. Adalah menjadi impian saya untuk menjalani kehidupan sebagai seorang muslim yang baik. Selalu membayangkan pasangan yang sudah bersara berjalan bersama-sama ke masjid. Saya teringin untuk melakukan perkara yang sama. Tapi, suami selalu mengatakan, mengapa nak tunggu bersara untuk buat begitu. Dia selalu mengingatkan saya banyak perkara terutama ke arah kebaikan.

Hip: Apakah Faizal akan mengizinkan Aishah untuk terus menyanyi selepas ini?

Saya bersifat terbuka. Memang ada banyak pendapat mengenai suara wanita itu adalah aurat. Tapi kalau kita lihat, program seperti musabaqah membaca Al-Quran turut mempunyai qariah (peserta wanita). Jadi saya anggap jika perkara itu membawa ke arah kebaikan, saya tak kisah.

Hip: Apabila Aishah muncul dengan album konsep zikir seperti ini, apakah ini satu petanda bahawa Aishah tidak akan menyanyikan lagu berentak pop lagi?

Saya masih mahu menyanyikan lagu berentak pop dan selepas ini saya akan muncul dengan sebuah album klasik yang akan memuatkan lagu popular sekitar tahun 1950-an. Saya hasilkan album ini sebagai peninggalan untuk anak-anak saya nanti. Mungkin selepas ini akan muncul beberapa siri album yang berkaitan dengan doa dan zikir, yang berkaitan dengan kehidupan.


Rahsia Doa Pengasih. Klik sini.

Layari : Zonfiniti

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI