Tren berbuka puasa di hotel

Thursday, September 10, 2009

Tren berbuka puasa di hotel

Ramadan di Malaysia selain diisi dengan solat sunat Tarawih dan bertadarus di surau, turut dihiasi dengan berbuka puasa di hotel dan kini semakin membudaya dalam masyarakat Islam Malaysia apabila ia menjadi suatu tren meskipun harga yang dikenakan sesetengahnya terlalu tinggi.

Kegawatan ekonomi nampaknya tidak menghalang mereka untuk terus bersaing dan tren berbuka puasa di hotel menjadi semakin galak dari setahun ke setahun sehingga masing-masing berusaha menawarkan pelbagai menu menarik untuk dinikmati pembeli.

Keyakinan pengusaha hotel untuk menawarkan buffet berbuka puasa dan sahur kerana sentiasa ada badan korporat yang bersedia menaja majlis untuk anak yatim dan orang tua dari rumah kebajikan sebagai tanda menghargai mereka agar dapat sama menikmati Ramadan.

Tidak ketinggalan, masyarakat kelompok menengah yang sudah bertahun-tahun menjadikan hotel sebagai gelanggang untuk mereka berbuka puasa dan bersahur kerana berkemampuan di samping meraikan keluarga sendiri turut menyumbang kepada kebiasaan ini menjadi sebahagian daripada budaya.

Dalam keghairahan berbuka puasa di hotel, masih ramai yang tidak sedar bahawa hanya 27 daripada 2,000 hotel di seluruh negara memiliki sijil halal untuk dapur utama, tanpa menafikan kini ada yang menawarkan kemudahan bertarawih lengkap dengan imam.

Sikap sedemikian menyebabkan pengertian sebenar Ramadan kabur kerana ia sepatutnya tampil sebagai bulan yang mengajar umat Islam merasai penderitaan golongan fakir miskin dalam mengharungi kehidupan seharian, bukan dengan meraikan mereka secara berlebihan sehingga ibadat wajib diabaikan.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Selangor (Perkid), Masridzi Sat, mengakui berbuka puasa di hotel sememangnya kini menjadi budaya di kalangan masyarakat kelompok menengah dan badan korporat kerana penghayatan berpuasa didahului amalan memeriahkan majlis berbuka puasa.

“Konsep masyarakat masa kini adalah siapa berkemampuan dan bersedia meluangkan masa, boleh menikmati juadah berbuka di hotel, manakala kelompok tidak berduit hanya berbuka secara ala kadar. Walhal dalam Islam, bersederhana bukan saja dari segi pemakaian dan suasana kediaman, tetapi juga pemakanan ketika berbuka,” katanya.

Justeru, beliau mengingatkan masyarakat Melayu agar lebih prihatin terhadap konsep merendah diri dan mengelakkan pembaziran selain mengimarahkan rumah Allah pada Ramadan kerana majlis berbuka puasa lebih afdal dilakukan di masjid atau di rumah berbanding hotel.

“Bagaimanapun tidak salah sekiranya kita mengajak ahli keluarga berbuka puasa di luar sekali-sekala bagi mengeratkan hubungan kekeluargaan, tetapi jangan sampai membazir dengan makanan mewah kerana ia dibenci Islam dan bercanggah dengan syarak kerana puasa sepatutnya menimbulkan keinsafan serta merasai nikmat kesusahan,” jelasnya.

Masridzi melahirkan kekecewaannya terhadap budaya penganjuran majlis berbuka puasa untuk anak yatim yang kononnya memberi peluang kepada kelompok itu menikmati saat berbuka puasa di hotel terkemuka kerana senario itu bakal mengundang kesan negatif.

“Saya tidak menafikan tiada salahnya meraikan mereka di hotel sekali-sekala, tetapi sekiranya kerap dilakukan seolah-olah mengajar mereka untuk bermewah pada Ramadan, sedangkan penghayatan puasa sepatutnya diperjuangkan kerana aspek ini yang semakin kabur,” tegasnya.

Beliau menggesa badan korporat turut menghulur bantuan bantuan kepada tujuh lagi asnaf yang turut layak dibantu iaitu fakir, miskin, muallaf yang hendak dijinakkan hatinya dengan agama, amil yang dilantik menguruskan zakat, hamba yang ingin memerdekakan dirinya, orang yang dibelenggu hutang, dibelanjakan bagi memperjuangkan agama Allah dan musafir yang terputus bekalan..

Pensyarah Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka , Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mohd Jamil Mat Isa, berkata berbuka puasa di hotel menjadi kebiasaan kelompok menengah kerana mereka sudah lama membudayakan hotel sebagai tempat menikmati makanan dalam kehidupan seharian mereka.

“Dalam situasi ini, antara golongan paling beruntung adalah kanak-kanak yang menetap di rumah anak yatim dan rumah kebajikan orang tua yang menerima kunjungan pelbagai pihak yang menganjur majlis berbuka puasa di hotel mewah bagi meraikan dan membantu mereka,” katanya.

Baginya, budaya berbuka puasa di hotel mendorong kepada pembaziran selain memberi peluang kepada bangsa lain mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan kerana kebanyakan perniagaan hotel dikuasai bukan Islam, manakala peniaga bazar majoriti adalah orang Melayu.

“Kita perlu sedar bahawa budaya ini bakal memberi kesan negatif terhadap gaya hidup masyarakat kita apatah lagi, jika seseorang itu berbuka puasa di hotel dengan tujuan untuk bermegah-megah kerana sikap sedemikian sememangnya diharamkan dalam Islam dan sewajarnya dihindari,” katanya.

Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI