Tip Jimat Musim Perayaan

Friday, September 11, 2009

Saya ingin kongsikan tip-tip penjimatan yang boleh diamalkan agar kita dapat berjimat dan raya sakan tahun ini.

Makanan

Seorang isteri memainkan peranan yang mustahak setiap hari. Merekalah yang akan menyediakan juadah berbuka puasa, lauk-pauk untuk bersahur dan kuih-muih hari raya nanti.

Kalau tahun-tahun semasa ekonomi kita tidak melalui kegawatan, bolehlah kita berbelanja tanpa mengira harga. Bagaimanapun dalam keadaan ekonomi yang masih muram ini, kita hendaklah bijak apabila berbelanja.

Masihkah kita ingat lagi semasa kecil dahulu, satu atau dua jam sebelum berbuka, kita akan sibuk disuruh ibu untuk menghantar kuih-muih atau lauk-pauk ke rumah jiran-jiran bersebelahan?

Lebih istimewa, jiran kita pula akan membalas dengan memberikan juadah yang mereka sediakan untuk hari tersebut. Jadi, apabila kita berbuka puasa, meja makan akan penuh dengan beberapa jenis kuih.

Apa kata kita hidupkan semula amalan yang telah dilupakan ini. Bertukar-tukar juadah berbuka puasa bukan sahaja merapatkan silaturahim malah membantu kita semua berjimat di bulan puasa.

Bukan itu sahaja, ia menjadi satu aktiviti yang menyeronokkan. Begitu juga menyediakan biskut dan kek raya beramai-ramai.

Apa kata kita berbincang dengan jiran tetangga yang terdekat, berapa jenis biskut dan kek yang kita ingin sediakan untuk hari raya tahun ini. Setelah mendapat persetujuan, kita sama-sama membeli bahan-bahan mentah seperti gula, mentega, tepung dan lain-lain dari pasar raya.

Kemudian, pilih hari untuk membuat kuih bersama. Bahagikan semua jumlah keseluruhan harga barangan mentah, bil air dan bil elektrik dan kita kongsi kos pembikinan biskut dan kek.

Kalau segan, lakukan dengan adik-beradik sendiri dulu. Apabila tiba hari raya, poket kita tidak kosong malah meja dan almari di dapur banyak tersusun balang-balang biskut yang telah dihasilkan oleh kita sendiri.

Pakaian

Mestikah kita menggantikan pakaian baru setiap kali raya? Kalau wang melimpah-limpah, boleh sahaja. Bagi saya, tidak salah kalau baju raya yang saya simpan dengan baik beberapa tahun lalu yang masih cantik dan masih muat, dipakai semula raya tahun ini. Memandangkan ramai wanita agak kreatif, baju-baju lama boleh diubah agar kelihatan baru menerusi pelbagai teknik.

Kita mungkin boleh menambahkan manik atau kristal Swarovski dengan menjahit atau menampalnya pada baju kurung atau kebaya.

Untuk baju anak-anak, si adik mungkin boleh memakai baju kakak atau abang yang tidak muat lagi. Kita tambahkan dengan renda yang beraneka warna.

Biarkan anak-anak kita yang memilih warna kegemaran mereka. Semasa anak-anak saya kecil, saya suka membeli pelekat dan jahit pada baju atau seluar jean mereka.

Kalau kita buat perbandingan antara membeli baju baru dan mengitar semula baju, saya pasti wang yang dapat dijimatkan tahun ini agak banyak juga.

Perabot

Sejak beberapa bulan lalu saya sesekali ke kompleks membeli-belah untuk mencari set kerusi ruang tamu. Apa yang saya perhatikan ialah walaupun kita diberi peluang dengan jualan-jualan hebat di seluruh negara, harga kerusi set yang saya inginkan masih lagi tinggi.

Setelah penat saya mencari, dengan bantuan seorang rakan, saya menelefon kedai perabot berdekatan yang melakukan upholstery iaitu melengkapkan perabot lama dengan yang baru.

Bukan sahaja saya memilih kusyen yang dipersetujui sekeluarga, bahkan saya dapat menukar kusyen kerusi makan. Apa yang paling saya suka ialah saya telah dapat menjimatkan wang sebanyak RM5,000. Dengan anggaran harga set yang baru ialah RM7,000 sedangkan kos menukar kain kusyen dan menukar foam yang baru untuk set ruang tamu serta menukar kain kusyen untuk set meja makan hanyalah RM2,000.

Pepatah Melayu ada mengatakan, ikut hati mati, ikut rasa badan binasa. Kadang-kadang kita suka mengikut orang atau ingin berlumba-lumba dengan jiran sehingga kita berbelanja begitu besar. Cukuplah kita dibesarkan dengan pendirian yang kurang sihat ini.

Jom kita berjimat dalam menjalani ibadah puasa dengan bersungguh-sungguh dan apabila Syawal tiba.

Kepada semua pembaca Kosmo!, saya ucapkan Selamat Berpuasa.

~ Kosmo!

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI