Megat Zaharuddin Pengerusi baru Maybank

Wednesday, September 09, 2009

Malayan Banking Bhd. (Maybank) melantik Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd. Nor (gambar) sebagai Pengerusi barunya berkuat kuasa 1 Oktober ini bagi menggantikan Tan Sri Mohamed Basir Ahmad yang tidak mahu dilantik semula semasa mesyuarat agung tahunan bank tersebut pada 30 September ini.

Mohamed Basir akan bersara apabila selesai AGM berkenaan.

Menurut bank komersial terbesar negara itu dalam satu kenyataan di sini semalam, Megat Zaharuddin, 60, telah berkhidmat dalam lembaga Maybank sebagai Pengarah Bebas dan Bukan Eksekutif mulai Julai 2004 hingga Februari 2009.

Beliau merupakan Pengerusi Jawatankuasa Penubuhan dan Saraan lembaga serta anggota Jawatankuasa Penamaan lembaga.

Sebelum ini, Megat Zaharuddin pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Maxis Communications Bhd. dari bulan Julai 2004 sehingga November 2007.

Beliau kini merupakan Pengerusi Lembaga Getah Malaysia, Pengarah Dana Pembangunan Pasaran Modal dan Pusat Antarabangsa Untuk Kepimpinan Dalam Kewangan (ICLIF)

Mohamed Basir, 71, menyertai Maybank sebagai Pengarah pada 5 Ogos 1993 apabila bersara sebagai Penasihat Bank Negara Malaysia dan beliau dilantik sebagai Pengerusi Maybank pada 9 Oktober 1993.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI