Lebih 99 peratus penghidap H1N1 sembuh

Wednesday, September 09, 2009

Lebih 99 peratus penghidap H1N1 sembuh

Di sebalik kebimbangan orang ramai terhadap bahaya pandemik influenza A(H1N1), kira-kira 99.2 peratus daripada 9,257 kes yang disahkan positif H1N1 di negara ini berjaya sembuh dengan kes kematian yang direkodkan semakin berkurangan.

Pengarah Kawalan Penyakit, Datuk Dr Hassan Abdul Rahman, berkata perkara itu menggambarkan bahawa mangsa jangkitan boleh sembuh jika mendapatkan rawatan awal.

"Majoriti pesakit yang disahkan positif H1N1 di negara ini telah sembuh setelah mendapatkan rawatan. Oleh sebab itulah jangan ambil mudah terhadap gejala H1N1 biarpun hanya batuk sikit-sikit," katanya kepada pemberita selepas taklimat media mengenai influenza A(H1N1) di sini hari ini.

Katanya, bilangan orang ramai yang berkunjung ke hospital kerajaan untuk mendapatkan pengesahan H1N1 juga kini semakin berkurangan berbanding sebelum ini.

Sehingga hari ini, angka kematian kekal 73 dengan tiada kematian baru hari kelima berturut-turut.

Sehingga 31 Ogos lalu, Johor mencatatkan kematian paling tinggi iaitu 13 kes daripada 855 kes positif H1N1.

Selangor pula dilaporkan paling banyak kes iaitu 1,868 dengan lapan kematian.

"Orang ramai perlu tahu bahawa bilangan kematian yang tinggi di sesebuah negeri itu bagaimanapun tidak menggambarkan kawasan berkenaan terdedah kepada ancaman jangkitan yang serius," katanya.

Dr Hassan berkata, bilangan kes kematian di sesebuah negeri bergantung pada kepadatan populasi penduduk negeri berkenaan.

Beliau berkata, kumpulan umur 15 hingga 29 tahun merekodkan kematian tertinggi dengan 19 kes diikuti kumpulan umur 30 hingga 44 tahun dan 45 hingga 59 tahun masing-masing mencatatkan 12 kes.

Sementara itu, Pakar Perunding Kanan (Penyakit Berjangkit) Jabatan Perubatan, Hospital Sungai Buloh, Dr Christopher Lee, berkata bukan semua pesakit yang disyaki dijangkiti H1N1 perlu mendapatkan rawatan daripada doktor.

Malah, katanya, bagi kebanyakan orang simptom penyakit itu kelihatan lemah dan terbatas.

"Sekumpulan kecil pesakit yang dijangkiti H1N1 menghidap penyakit teruk dengan komplikasi, dan ramai tapi bukan semua, yang mempunyai faktor risiko tersembunyi yang berkemungkinan menyumbang kepada keadaan yang tenat," katanya.

Dr Lee berkata, sebahagian besar kes H1N1 di Hospital Sungai Buloh berasal dari kawasan pedalaman yang didiami oleh penduduk yang sudah berumur dan kurang pendidikan.

Beliau berkata, kerajaan perlu memikir cara untuk mendekati golongan ini yang tidak membaca akhbar atau menggunakan Internet. - Bernama

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI