Julfekar saman Farawahida

Sunday, September 06, 2009

Saman kerana diaibkan – Julfekar

Perbalahan antara komposer dan pemilik MilleniumArts Sdn. Bhd., Julfekar Ahmad Shah dan artis Farawahida Razali sampai ke kemuncaknya. Atas nama maruah yang tercalar, Julfekar mengambil langkah drastik menyaman bekas penyanyi didikannya itu.

Melalui Tetuan Radzuan Ibrahim & Co., Julfekar telah memfailkan saman terhadap Farawahida pada 27 Ogos lalu.

“Ini kerana maruah. Saya rugi dan saya diaibkan,” kata Julfekar ketika hadir ke pejabat Mingguan Malaysia pada petang Selasa lalu.

Dalam pertemuan itu juga Julfekar meluahkan rasa hatinya terhadap kemelut yang melanda dirinya dan Farawahida selama ini.

“Saya dah rugi. Syarikat saya syarikat kecil dan saya menggunakan duit simpanan sendiri. Saya tak pinjam bank untuk buat albumnya. Tapi dia sudah merugikan saya dengan tindakannya.

“Dia juga cuba jatuhkan maruah saya. Sepatutnya sebagai Muslim, kalau sudah tidak suka, cakap sahaja. Kenapa mesti mengaibkan orang.” Julfekar tolong jawab beberapa misteri di sebalik kontroversi “kehilangan” Farawahida.

Benarlah anda nekad memfailkan saman?

Ya dan akan keluar lagi beberapa saman lain termasuk saman malu.

Saman yang anda failkan pada 27 Ogos itu saman apa?

Saya memfailkan saman tuntutan ganti rugi kerana (Farawahida) melanggar kontrak dan meletak jawatan serta merta sebagai artis MillenniumArt pada 9 Februari 2009 sedangkan kontrak Fara hanya tamat pada 19 Februari 2009. Dan Fara masih lagi mempunyai option atau pilihan satu tahun (kontrak Farawahida adalah 5+1) yang menjadi hak syarikat untuk menyambung kontraknya selama setahun lagi tanpa notis. Hakikatnya, kontrak Farawahida akan tamat pada 19 Februari 2010. Ada empat klausa (berdasarkan klausa 1, 7, 9 dan 12) dalam kontrak yang menunjukkan dia masih artis MilleniumArt.

Tidakkah ada jalan terbaik untuk menyelesaikan kemelut ini?

Tidak timbul syarikat tidak mahu melepaskannya. Sebab syarikat telah menghantar surat pada Farawahida pada 17 Februari 2009 dan 19 Mei 2009. Dalam surat tersebut pihak syarikat tidak mempunyai bantahan untuk penamatan kontraknya dengan MillenniumArt. Tetapi dengan bersyarat.

Apa syaratnya?

Farawahida dimestikan membayar ganti rugi di atas kerugian sejak Fara meninggalkan syarikat sekali gus mengabaikan tanggungjawabnya sejak awal Februari 2009.

Berapa jumlah kerugian yang dituntut?

Pihak syarikat menuntut sejumlah RM436,700 yang melibatkan kos-kos kerugian yang telah ditanggung oleh pihak syarikat dalam menerbitkan album terbarunya, Farawahida ‘09 serta promosi di Indonesia yang telah pun dirancang pada Februari-Mei 2009. Ia meliputi kos pembikinan album terbaru (Farawahida ‘09) untuk edaran Indonesia dan edaran Malaysia (tujuh lagu), kos pembikinan klip video, tiket penerbangan, makan/minum dan penginapan, penggambaran kulit album, bayaran kepada pengurusan yang dilantik untuk tujuan aktiviti dan promosi di Indonesia, pencetakan cakera padat album Farawahida ‘09 di Indonesia, kos-kos promosi untuk album Farawahida ‘09 di Indonesia serta kesusahan dan keperitan yang ditanggung oleh syarikat di dalam mengurus, menerbitkan album dan menaikkan Farawahida.

Jadi apa status Farawahida sekarang?

Oleh kerana kontrak pengurusan Farawahida dengan MillenniumArt Sdn. Bhd. masih belum tamat seperti yang gembar-gemburkan selama ini. Jadi Fara tidak boleh membuat sebarang urusan dengan sesiapapun berkaitan acara, show, penampilan atau yang berkaitan, tanpa melalui pihak MillenniumArt. Fara juga tidak boleh menggunakan khidmat orang lain atau syarikat selain MillenniumArt.

Apa perasaan anda terhadap Farawahida sekarang?

Saya amat terkilan dengan sikapnya yang terus membuat kenyataan di media menghebahkan perkara-perkara yang berbaur fitnah. Saya pun ada maruah, saya tak mahu maruah saya diperlakukan seperti ini. Saya telah melakukan segala-gala yang terbaik buat kerjaya seni Fara demi menaikkan Fara. Tapi inikah balasannya?

Fara kata dah muhasabah diri tapi kenapa masih hendak mengaibkan orang? Kalau dia ingin mencari publisiti kerana takut atas kejatuhan dirinya sendiri, tak perlulah dengan cara keji mengaibkan orang lain.

Saya telah membelanjakan sejumlah wang yang besar bagi tujuan penerbitan album, strategi promosi, kelas vokal untuk meningkatkan mutu nyanyian dan juga perbelanjaan untuk sara hidup dan penampilannya agar tampil segar dan menarik.

Boleh jelaskan tentang dakwaan-dakwaan Farawahida terhadap anda selama ini?

Dalam kenyataannya di media , dia masih terus menghebahkan perkara-perkara yang berbaur fitnah walaupun dia mengatakan tak mahu lagi membuat kenyataan-kenyataan di media tapi kenapa masih terus buat kenyataan yang berniat mengaibkan saya? Dia mendakwa kononnya hidup terkongkong tetapi kenapa baru sekarang nak kata begitu? Kenapa tidak sebelum ini? Ada udang sebalik batukah baru nak bagi alasan yang klise seperti itu? Dia juga mendakwa kononnya saya berniat menamatkan kerja seninya. Saya tak pernah berniat seperti itu.

Sebenarnya kalau dia menggunakan saluran yang betul seperti adakan perbincangan, perkara-perkara mengaibkan ini tak timbul.

Padahal selama enam bulan saya memujuk Fara melalui SMS agar datang berbincang dan selesaikan dengan baik tapi dia degil.

Tak cukup dengan itu, pihak syarikat juga dah hantar surat padanya tapi pun tiada maklum balas positif dari Fara dan yang terakhir peguam saya telah menghantar surat di mana dalam surat itu pihak saya telah bersetuju dengan permohonan berhentinya yang bertarikh 9 Februari 2009, dia hanya perlu membayar ganti rugi yang telah diminta, namun tiada juga maklum balas dari dia mahu pun dari peguam yang dia lantik.

Farawahida pernah mendakwa baru sekarang dia merasa memegang duit sendiri? Apa komen anda?

Dakwaan seperti ini adalah keterlaluan dan tak berasas. Tengok saja apa yang ada pada diri dia selama ini, hidup mewah. Tempat tinggal yang selesa dan mewah, pakaian bertimbun, kasutnya beratus pasang, aksesori dan sebagainya malah rumah di Taiping yang dulu hanya ala-ala, sekarang dah cantik, siap marmar, perabot dan macam-macam lagi. Dia jangan tak akui, selama beberapa tahun ini, setiap tahun siapa yang selalu belikan baju raya pada dia dan famili. Allah Maha Mengetahui. Dia juga perlu tahu selama empat tahun dari tahun 2003 hingga 2006, ketika itu Fara tiada wang dan masih belum ada pendapatan sendiri, pihak pengurusan terpaksa menanggung semua kos sara hidup dia termasuk sewa rumah, belanja dapur, beli pakaian, bil-bil dan sebagainya.

Khabarnya anda menjaja cerita? Juga kononnya anda memukul dia di depan emaknya dan orang ramai?

Selama ini saya tak pernah membuat kenyataan memburukkan dia di media. Selalunya saya akan membuat kenyataan di media selepas dia membuat kenyataan yang tak betul di akhbar. Itu pun kenyataan saya lebih kepada membidas kenyataan-kenyataan yang tak betul yang dia telah katakan. Saya dah puas nasihatkan dia agar tak perlulah lagi buat kenyataan-kenyataan yang berbaur fitnah kerana akhirnya memburukkan keadaan dan dirinya sendiri.

Tentang dakwaan saya memukulnya di depan emak dia dan orang ramai, ini adalah penipuan dan dakwaan tak berasas! Masuk akal ke saya memukul dia di depan emaknya apa lagi depan orang ramai? Takkan orang ramai tak bantu? Tak ada pun dengar orang buat laporan saya pukul dia.

Pernah tak nampak Fara dalam keadaan lebam-lebam? Lagipun apa hak saya buat begitu pada dia? Dakwaan ini bermotifkan ingin menjatuhkan maruah saya. Ini semua satu konspirasi yang dia dah rancang.

Sejujurnya apa hubungan anda dan Farawahida?

Malas sebenarnya bercerita tentang cinta ni, nanti nampak sangat saya yang terhegeh-hegeh, padahal apa yang berlaku adalah sebaliknya. Janggal bukan? Dia kata tak bercinta tapi yang dia pergi buat laporan yang mengatakan ada rakaman seks kami berdua. Kenapa? Bukankah dengan tak secara langsung dia telah mengakui antara kami memang ada hubungan?

Malas dah mengulas lanjut tentang perkara ini. Cuma di sini saya lampirkan contoh SMS yang dia telah hantar kepada saya pada Disember 2006. Jadi pembaca fikir-fikirkanlah sejauh mana kebenaran kenyataannya.

Oleh WANDA IDRIS

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI